Salam

Blog ini bukanlah blog yang cantik... Maaf kerana design tidak menarik dan tiada muzik latar... Aku hanya ingin berkongsi pelbagai cerita dan rencah hidup... Ku harapkan isi blog ini bermanfaat untuk kita semua... Jika sudi jadilah 'Pembaca Setia' (followers)... Terima kasih kerana mengunjungi blog aku yang serba kekurangan ini...

Thursday, November 24, 2011

Lelaki Buta, Pekak & Bisu





Aina baring manja di atas badanku sambil jari jemariku menekan keypad notebook ku ini. Dia manja dan cukup manja. Seperti dia, aku juga tidak mampu meneruskan hidupku ini jika dia tiada di sisi. Aina dan abang, kakak dan Sumi menjadi penguat semangatku untuk meneruskan hidup yang cukup menyedihkan ini.

 Aku telah kehilangan salah seorang dari ahli keluarga kami atas kehendak dan permintaan dia sendiri. Tidak mahu dan tidak mampu untuk ku ungkitkan lagi semua itu. Biarlah. Biarlah kenangan itu pergi bersama susur galur masa dalam kehidupan kami. Biarlah kenangan itu terus terlipat di dalam lipatan sejarah. Tidak perlu untuk kita membuka lipatan dan membacanya lagi.

Apa gunanya dibuka dan dibaca jika ianya hanya menambah luka di dada dan menyakitkan hati yang masih terasa peritnya. Terasa dalam lukanya  dan tidak mungkin luka itu sembuh walau hingga ke hujung usia. Masih ku ingat kata-kata kawanku:

“Lebih banyak kita berbicara, lebih banyak hati yang terluka”

Hidup ini terasa sunyi. Sunyi yang amat sangat. Lebih memeritkan bila malam bertandang dan bila mataku masih terbuka tetapi mata Aina dan anak-anakku sudah terpejam lena. Lena dengan mimpi-mimpi yang indah. Tidurlah anak-anakku kerana perjalanan hidupmu masih muda dan indah. Janganlah kau tempuh dan lalui jalan sepi yang aku lalui ini. Biarlah aku sahaja yang melalui liku-liku sepi yang tidak tahu bila akan bernoktah.

 Aku sahaja yang masih terasa sunyi  dan sepi. Sunyi dan sepi  itu yang tak kan hilang walau telah ku halau dia pergi  jauh sejauh yang mungkin.

Aina tersenyum manis di tepiku…mengusap lembut rambut ku sambil berkata “adik shayang abah…adik nantuk…adik nak tidur la abah…”. Dengan perlahan dia berbaring ditepi ku sambil mengharapkan aku berhenti sekejap dan mendodoinya untuk tidur. Tangan kananku menepuk-nepuk Aina. Perlahan ku usap rambutnya dan ku berikan ciuman istimewa di dahinya. Matanya mula tertutup. Matanya tidak rapat. Seperti mama. Ahhh!!!! Kenangan itu datang lagi. Kesemua anak-anakku tidur dengan mata yang tidak rapat.

Abang, kakak dan Sumi telah lama lena diulit intan. Esok mereka bersekolah. Aina juga sama. Aku menatap wajah Aina dan aku menjenguk ke luar bilik melihat anak-anakku yang lain sedang bermimpi dan aku harapkan mimpi mereka mimpi indah yang cukup indah seindah indahnya.

Hanya aku yang masih di depan notebook ku ini untuk merakamkan detik dan waktu dengan bait-bait ayat untuk ku kongsi cerita duka dan cerita suka seorang bapa yang bergelar bapa tunggal.Bapa tunggal ini sebenarnya istimewa. Boleh menjadi pelakon. Pelakon filem Transformers. Boleh menjadiBumblebee kerana ada masanya menjadi ayah dan ada masanya menjadi mama.

Oh! Wanita

Aku mengenali ramai insan yang kebanyakkan dari kaum hawa. Walau aku sunyi dan aku sepi dan kesunyian ini juga disebabkan kaum hawa, tetapi aku masih mahu untuk mendengar luahan rasa dan cerita lara hati mereka. Cerita lumrah adat dunia dari insan yang dijadikan dari tulang rusuk kaum Adam yang tidak pernah cuba mendengar dan memahami mereka.

Sama seperti aku dahulu yang buta dan pekak. Tidak mendengar keluh kesah dan  nyanyian sepi kaum hawa yang mengharapkan kasih yang tidak pernah kunjung tiba dan hadir bahagia di dalam hidup mereka. Sedih dan menyedihkan. Simpatiku  buat mereka.

Maafkan kaum Adam. Maafkan mereka  kerana mereka golongan ‘kurang upaya’.  Mereka OKU. Mereka buta. Mereka pekak. Mereka bisu. Malah ada diantara mereka yang menjadi ketiga-tiganya sekali.

Mereka buta kerana tidak pernah melihat dan merasai istimewanya kaum hawa di sisi mereka. Mereka tidak pernah untuk memejamkan mata dan cuba untuk melihat dengan mata hati siapakah isteri atau pasangan mereka. Mereka tidak pernah untuk merenung jauh kedalam hati isteri mereka untuk melihat betapa indahnya taman cinta seorang wanita. Mereka memang buta. Malang dan amat malang  buat mereka.

Mereka pekak kerana mereka tidak pernah ingin mendengar cerita cinta dari hati kaum wanita. Mereka hanya mendengar suara ego mereka. Mereka ketepikan apa jua suara-suara yang tidak senada dengan mereka. Bagi mereka suara-suara itu tidak ubah seperti bisikan syaitan dari neraka. Cukup bahaya. Cukup tidak berguna.

Mereka bisu kerana mereka tidak pernah bersuara untuk memohon maaf di atas salah dan silap mereka. Egois. Mereka merasakan hanya mereka yg ‘maksum’. Tidak melakukan apa-apa dosa. Tidak berdosa pada wanita yang terlalui menyintai mereka. Wanita hanyalah hamba abdi yang boleh dibuat apa yang suka. Tidak perlu untuk maaf dilafazkan.

Fikirkanlah…

Bagi kaum lelaki sepertiku…berhenti sejenak…pejamkan mata dan renung ke dalam hati kita…dan bertanyalah pada diri sendiri :

Adakah kita ‘buta’, ‘pekak’ dan ‘bisu’???


Renungan untuk kita semua…

“Tidak guna untuk kita memaafkan seseorang tetapi kita selalu mengungkit perkara yang lepas. Bila kita memaafkan seseorang, baiklah kita ‘melupakan’ apa yang telah dia lakukan.”


1 comment:

... said...

I just want to share utk renungan bersama http://www.loveloveislam.com/2012/01/berkata-yang-baik-atau-diam.html